Sesungguhnya Islam memiliki segala asas kesejagatan dan menjamin keperluan manusia tanpa mengira perbezaan agama,keturunan, warna kulit dan sebagainya (sama ada secara individu atau berkelompok). Asas kesejagatan tersebut ialah toleransi, kerjasama, keadilan (persamaan dan jaminan hak atau tanggungjawab), asas kemajuan dan pembangunan, jaminan keselamatan awam dan sebagainya.
Menurut Dr. Abdul Karim Othman dalam kitabnya an-nizam as-siyasi fi al-Islam(138-139), asas ini telah memberikan kekuatan kepada Islam untuk menjadi tunggak dan kepimpinan atau penggerak utama(leadership) kepada perhubungan dua hala yang baik, harmoni dan berkesan.Falsafah beberapa ajaran lain dan fahaman moden boleh mencetuskan konflik kepentingan. Contohnya Barat menganut falsafah penjajahan yang akan menjejaskan hubungan dua hala serta mencetuskan ketegangan. Malah Barat menolak peranan agama dalam urusan kenegaraan. Kristian sendiri ada mengamalkan konsep perbezaan antara kulit putih dan kulit hitam dalam upacara keagamaan di gereja. Ada juga ajaran agama yang lebih tertumpu kepada aspek penyucian roh dari belenggu jasad sehingga tiada garisan panduan khusus dalam aspek politik dan penyusunan masyarakat. Dengan itu mereka sukar untuk menjadi penggerak kepada agenda perhubungan agama dan bangsa, sebaliknya lebih tertumpu kepada aspek bangsa semata-mata dengan menolak perhubungan agama.
Sejarah perhubungan agama yang direkodkan oleh Islam sangat membina dan memberangsangkan, di mana prinsip hak dan tanggungjawab telah dilaksanakan dalam pemerintahan Islam bagi menjamin kehidupan orang bukan Islam tidak terabai atau disia-siakan. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menegaskan prinsip tersebut melalui sabdanya yang melarang keras perbuatan khianat dan zalim terhadap orang bukan Islam dalam Negara Islam, sehingga Baginda menganggap perbuatan seperti itu sebagai menghina dan menyakiti Baginda sendiri.
Jatuhnya kerajaan Uthmaniyyah di Turku pada tahun 1924, sarjana-sarjana Islam membayangkan bahawa kejatuhan itu adalah satu kerugian besar kepada dunia seluruhnya, bukan setakat umat Islam kerana Islam tidak dapat lagi memberikan sumbangan yang besar kepada kesejahteraan manusia sejagat sama ada secara langsung atau tidak. Selepas itu misi kesjahteraan cuba di terajui oleh kuasa Barat, tetapi sebaliknya mereka mencipta berbagai-bagai teori yang hanya bertujuan mengaut keuntungan sebelah pihak sehingga melebarkan konflik dalam masyarakat dunia dan akhirnya berlaku penindasan demi penindasan dan dunia menyaksikan Tanah melayu turut menerima tempias yang sedemikian rupa.
Inilah persoalan yang ditegaskan oleh Syaikh Abu al-Hassan Ali an-Nadwi dalam kitabnya Maza Khasira al-Alam bi al-Inhitat al-Muslimin, bahawa Islam perlu diangkat menjadi peneraju kepada perhubungan antara agama dan bangsa. Realiti hari ini dapat dilihat, ruang untuk umat Islam kembali menerajui ala mini semakin pudar apabila keadaan ini menjadi terbalik sama sekali, di mana umat Islam pula menjadi murid kepada Barat. Undang-undang Islam diambil hanya untuk memenuhi tuntunan nafsu si pemerintah semata-mata, undang-undang sivil pula dipuja dan dijaga. Umat Islam hari ini lebih banyak memikirkan masalah satu masyarakat,lebih banyak berbangga dengan keistimewaan masyarakatnya sahaja sambil meminggirkan masalah masyarakat seluruhnya, dan dapat dilihat hukum Islam ditolak ketepi. Yang diambil hanyalah cebisan yang dirasakan bersesuaian dan kena pada tempatnya, seolah-olah agama itu umpama boneka sahaja. Maka, dengan sendirinya lemahlah peranan Islam dalam kehidupan sejagat, kerana munculnya berbagai-bagai krisis dalaman sendiri(seperti yang disebutkan di atas) setelah pedoman hidup mereka tidak lagi disanjung tinggi. Apabila kehidupan mereka terus diselubungi kelemahan, hilanglah kekuatan umat Islam satu persatu bermula dengan kuasa politik, ekonomi dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment