Saturday, July 16, 2011

..::BELAJAR DARIPADA SYAKSIAH SA'AD BIN ABI WAQQAS::..

Beliau merupakan salah seorang daripada sepuluh yang termaktub namanya paling awal masuk syurga. Beliau juga merupakan orang yang keempat masuk Islam selepas Abu Bakar, Ali dan Khadijah Radhiyallahu Anhum Jami’aa. Sa’ad bin Abi Waqqas merupakan bapa saudara Nabi Muhammad daripada sebelah isteri. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbangga dengan Sa’ad Bin Abi Waqqas kerana beliau merupakan orang yang bukan sahaja begitu banyak pengorbanannya untuk Islam, malahan beliau merupakan seorang yang sangat berani. 

Beliau disifatkan dalam hadith-hadith sahih merupakan orang yang pertama melontarkan lembing/panahnya untuk agama Allah Subhanahu Wata’ala. Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda dengan bangganya:

"Mahukah kamu tunjukkan kepadaku siapakah bapa saudara kamu semua, dan aku berbangga bapa saudaraku adalah Sa’ad Bin Abi Waqqas"

 Seperti yang kita sedia maklum, apabila orang Islam berada di zaman Makkiy, mereka mengambil sikap mempertahankan diri sahaja. Sebaliknya apabila mereka berhijrah ke Madinah, turunlah ayat berkaitan Jihad, seperti di dalam surah al-Hajj ayat 39:

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

Sebelum tercetusnya perang Badar, Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah mengutuskan satu delegasi perang/peninjau/pengintip yang dipimpin oleh Sa’ad Bin Abi Waqqas Radhiyallahu ‘Anhu.Banyak kisah yang menarik mengenai beliau. Antaranya ketika beliau sedang sakit, dan sakitnya itu sangat kuat, maka Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menziarahinya. Lalu beliau pun berkata kepada Baginda:

Ya Rasulallah, bolehkah saya mewariskan kesemua harta saya? Jawapan Baginda: Tidak boleh.. bolehkah seperdua wahai Rasulullah? Nabi menjawab tidak boleh. Bolehkah sepertiga? Baginda pun menjawab: sepertiga? Sepertiga itu banyak sebenarnya.

Lalu dalam kaedah Islam, kebenaran untuk mewasiatkan harta janganlah lebih daripada sepertiga berdasarkan daripada peristiwa ini. Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam apabila menziarahi para sahabat, ada hadith tentang Baginda merawat mereka. Contohnya Baginda membacakan:

لَا بَأْسَ طَهُورٌ إِن شَاءَ الله

Tidak mengapa, mudah-mudahan penyakit menjadi penyuci kepada dosa-dosamu
 (Doa ini wajar kita amalkan kalau kita sakit sebelum berjumpa dengan doctor. Hal ini sebagai memenuhi tuntutan sunnah).

Akhirnya Sa’ad pulih dan umurnya panjang. Baginda Sallallahu A’alaihi Wasallam telahpun wafat, beliau masih lagi hidup. Sa’ad bin Abi Waqqas telah banyak menyertai misi pembukaan Negara Islam. Contohnya Parsi. Apabila mendapat kemenangan di Parsi, akhirnya Sa’ad ditaklifkan oleh Amirul Mu’minin ‘Umar Ibn al-Khattab sebagai gabenor di Kufah. Saad memegang amanah ini dalam tempoh yang agak lama. Tiba-tiba, terdapat satu kumpulan yang ternyata ingin membuat konspirasi untuk menjatuhkan Sa’ad Bin Abi Waqqas. Beliau telah terjerumus dalam komplot konspirasi ini yang diketuai oleh ketua kumpulan tersebut yang bernama Abu Qatadah. 

Pada suatu hari, Sayyiduna ‘Umar al-Khattab telah berangkat ke Kufah untuk bertanya kepada punduduk Kufah tentang perkembangan Islam di sana. Ketika ‘Umar melalui sebuah Masjid, ketika itu juga Abu Qatadah sudah siap menunggu di sana. Lalu ‘Umar al-Khattab bertanya kepada Abu Qatadah:

Apakah pendapatmu tentang gabenor di wilayah ini? Abu Qatadah menjawab, siapa yang tidak kenal Sa’ad Bin Waqqas. Jawapan daripada Abu Qatadah serta ahli kumpulannya yang memang berniat jahat untuk menjatuhkan Sa’ad.apa jawapannya? Padanya(Sa’ad Bin Abi Waqqas) ada tiga cacat cela. Yang pertama dia tidak berhukum dengan adil. Kedua, dia tidak membahagikan dengan sama rata, dia tidak melihat kes-kes yang dibawa kepadanya dengan sempurna. Dan yang ketiga, dia tidak menyempurnakan solat dengan betul semasa menjadi Imam.Ini merupakan satu tuduhan yang amat zalim terhadap syaksiah yang hebat. 

Mendengar sahaja keterangan mereka, Sayyiduna ‘Umar pada waktu itu terus melucutkan jawatan Sa’ad bin Abi Waqqas. Sa’ad berlapang dada dalam hal ini kerana baginya tanggungjawab politik ini satu bebanan dan satu masalah besar yang akan ditanya oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Sayyiduna ‘Umar berkata, aku telah bertanya kepada sekelompok kumpulan dan jawapan mereka begitu dan begini terhadap kamu. Pertahankanlah dirimu… Sa’ad berkata: Wahai ‘Umar al-Khattab , aku adalah orang yang keempat masuk Islam bersama-sama Abu Bakar, Ali dan Khadijah. Berkenaan dengan pengagihan harta ini, engkau lihatlah rumahku sendiri, aku bukanlah ada apa-apa. Aku masuk Islam dan menyertai Rasulullah selama 23 tahun sehingga Baginda wafat. Siapakah dalam kalangan kita yang tidak tahu rakaat pertama Baginda lebih panjang daripada rakaat kedua.
(Sunnah dalam sembahyang rakaat pertama lebih panjang daripada rakaat kedua. Dalam mazhab Syafi’ie dituntut supaya membaca surah yang awal di rakaat pertama dan surah kemudian di rakaat kedua. Makruh sekiranya mendahulukan surah yang kemudian di rakaat pertama. Namun pokoknya rakaat pertama lebih panjang daripada rakaat kedua). 

Tiada seorang pun sahabat yang menafikan perkara tersebut.Sambung Sa’ad lagi, itulah solat yang ku lakukan bersama mereka semasa menjadi amir di kufah. Lalu Sa’ad bin abi Waqqas berdoa dan doanya yang mustajab. Dahulu ketika Rasulullah hidup, Sa’ad bertanya kepada Baginda, 

apakah rahsia orang itu dimustajabkan doa?Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Wahai Sa’ad perelokkan makananmu agar doamu diterima 

Saad berpegang pada prinsip tersebut di dalam hidup. Beliau hanya makan makanan yang halal dan bersih.

Pada hari tersebut Sa’ad berdoa di hadapan ‘Umar al-Khattab disaksikan sahabat-sahabat yang lain pada hari beliau dilucutkan jawatan itu dengan doanya:

Ya Allah, sekiranya si fulan ini dengki denganku dan inginkan fitnah, maka panjangkanlah umurnya.. dan dedahkannya kepada fitnah-fitnah

Kata Sa’id Ibn Musayyib yang meriwayatkan hadith ini dalam Al-Azkar oleh al-Imam an-Nawawi ada menyatakan, Abu Qatadah umurnya panjang. Matanya jatuh ke bawah, matanya tidak kelihatan kerana ditutupi oleh kedut di atas dahinya dan kendur ke bawah. Hidupnya sentiasa berfoya-foya dengan gadis-gadis di Kufah. Bukan itu sahaja, sia menjadi bahan ejekan dan lontaran batu oleh orang kufah. Bila ditanya kepadanya mengapa hidupnya jadi begini…jawapannya: 

ini adalah kesan doa Sa’ad Bin Abi Waqqas.

***************************** 

No comments:

Post a Comment