Thursday, July 22, 2010

Cinta Dunia Dan Takut Mati




Menurut Imam Al-Ghazali, cinta dunia adalah pangkal segala dosa. Gemerlap dunia seringkali membuat orang tersesat sehingga lupa pada tujuan hidupnya sebagai musafir menuju alam akhirat. Ibarat pemuda yang menunaikan ibadah haji, dia pasti disibukkan dengan segala persiapan, bekalan serta kelengkapan kenderaannya, sehingga akhirnya dia pun tertinggal oleh rombongannya dan gagal menunaikan ibadah haji, malah menjadi mangsa oleh binatang buas di padang pasir,

Cinta dunia dan takut mati (hubbuddunya wa karohiatul maut) adalah dua hal yang menyebabkan umat Islam tidak bermartabat. Dalam sebuah hadith yang sangat popular, Nabi Saw menyebut “penyakit umat” itu diistilahkan sebagai “al-wahn”. Kerana penyakit itu, umat Islam menjadi seperti buih di lautan yang terumbang-ambing. Maksudnya, umat Islam menjadi tidak punya pendirian, mengorbankan idealisme, bersikap pragmatisme, terbawa arus, dan menyimpang dari jalan yang sudah digariskan Allah Taala (syariat Islam).

Sebenarnya, Islam tidak melarang umatnya untuk menikmati kesenangan duniawi, asalkan berada dalam batas-batas yang telah digariskan Allah Swt. Sebagaimana firman-Nya,



وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الآخِرَةَ وَلا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الأرْضِ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

“Dan carilah apa-apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan” (Al-Qashash: 77)

Rasulullah Saw membimbing umatnya bagaimana sebaiknya menyelaraskan kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat agar kita dapat meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat,bekerjalah engkau untuk duniamu seolah-seolah engkau hidup selamanya dan beramallah engkau untuk akhiratmu seolah-olah engkau mati esok.

Islam tidak mengharamkan umatnya untuk hidup berlimpah harta dan menikmati kesenangan duniawi. Asalkan semua itu dicapai dengan jalan halal, lalu membayarkan zakat, mengeluarkan infak dan sedekah, membantu kaum lemah, tidak menjadikan kekayaan itu sebagai tujuan hidup, dan tidak lalai dari mengingati Allah.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi”(Al- Munafiqun:9)


Islam menggalakkan umatnya mencari rezeki yang digunakan untuk memenuhi segala keperluan. Islam menilai, usaha dengan bekerja sendiri merupakan sesuatu yang amat mulia, sedangkan mengemis merupakan sesuatu yang hina.

Janganlah sampai umat Islam terlena dengan kenikmatan dunia, sehingga melupakan peraturan Allah dan kehidupan akhirat. Jika itu terjadi, ini bermakna umat Islam terkena penyakit “cinta dunia”, iaitu menjadikan dunia sebagai tujuan hidup. Padahal, harta, kedudukan, atau hal duniawi lainnya itu hanyalah perkakas untuk menggapai kehidupan bahagia dunia-akhirat. Bahkan, kehidupan dunia ini hanyalah “permainan”.


اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الأمْوَالِ وَالأوْلادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَنَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا وَفِي الآخِرَةِعَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَاإِلا مَتَاعُ الْغُرُورِ

"Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu."(Al-Hadid:20).






Dunia berasal dari kata kerja “danaa” yang bermaksud dekat. Hal ini menunjukkan, urusan dunia adalah urusan yang kenikmatannya hanya dapat dirasakan di dunia ini. Orang yang sibuk dengan urusan dunia bererti orang yang sibuk dengan urusan-urusan yang kenikmatannya hanya dapat dirasakan di dunia ini, bahkan ianya bertentangan dengan usaha pencapaian kenikmatan ukhrawi.

Dalam sebuah hadith, Rasulullah menyatakan, orang yang menjadikan dunia sebagai tujuan (cita-cita hidupnya), maka dia tidak akan mendapat apa-apa pun daripada Allah, justeru itu, dia akan senantiasa menyeksa hatinya dengan empat perkara: kesusahan yang tidak putus-putus, kesibukan yang tiada akhirnya, kemiskinan yang tidak mungkin dapat mencapai kekayaan, dan angan-angan yang tidak akan sampai tujuannya selama-lamanya.

Dalam hadith yang lain Rasulullah menggambarkan nasib orang yang cinta dunia di akhirat kelak. “Kelak pada hari kiamat akan datang satu kaum yang amal perbuatan mereka seperti Gunung Tihamah, tetapi mereka diiring ke neraka,” ujar Rasulullah. Para sahabat bertanya: “Adakah termasuk orang yang mengerjakan solat, Ya Rasulallah?” Rasulullah menjawab: “Ya, mereka bersolat, berpuasa, dan bangun di sepertiga malam. Dan bila ditawarkan nilai dunia, maka mereka bergegas merebutnya”.

Read more...

Friday, July 16, 2010

TERUSKAN BERDOA



Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Mereka yang enggan berdoa kepada Allah, adalah orang yang bongkak.

Al-Quran memaparkan banyak ayat, antaranya firman Allah (mafhumnya): "Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu..." (Surah al-Ghafir, ayat 60)

Firman Allah (mafhumnya): "Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Dalam as-Sunnah, terdapat banyak hadis-hadis fi'li (perbuatan) dan hadis-hadis qauli (percakapan) yang jelas baginda Rasulullah s.a.w., berdoa ke hadrat Allah SWT.

Berdoa sememangnya dituntut, itu tugas kita sebagai hamba Allah. Sama ada terima atau tidak, ianya adalah urusan Allah SWT.

Terserahlah kepada Allah dan memohonlah apa sahaja dengan penuh yakin bahawa Allah akan mengkabulkan doa kita. Nescaya Allah akan memenuhinya sama ada cepat atau lambat.

Nabi Allah Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah berdoa ke hadrat Allah agar hati-hati manusia tertarik untuk mengunjungi Makkah beramai-ramai, pada waktu Makkah masih menjadi sebuah lembah yang gersang.

Baginda berharap umat manusia datang beramai-ramai menunaikan haji dan membuat umrah, dan dipohonkan rezeki mereka melimpah ruah.

Doa itu dilafazkan ribuan tahun dahulu ketika baginda mendatangi Makkah bersama anak dan isterinya.

Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa baginda selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w., malah sehingga hari ini semakin jelas doa Nabi Ibrahim a.s., seolah-olah baru dimakbulkan.

Cuba bayangkan, doa Nabi Ibrahim yang disebut sebagai 'khalilullah' - kekasih Allah - sahabat setia Allah, berdoa ke hadrat Allah, ribuan tahun kemudiannya baru jelas dimakbulkan.



Apabila kita sering berdoa, jangan sesekali membuat kesimpulan bahawa doa kita tidak akan dimakbulkan.

Mungkin Allah telah makbulkan doa itu, mungkin dalam bentuk diberikan yang lebih baik daripada apa yang kita pinta.

Kadang-kadang doa kita dimakbulkan cepat, kadang-kadang lambat. Ertinya, apa yang dipohon, tidak semestinya diberi atau ditolak.

Ia adalah suatu ujian kepada kesabaran seseorang hamba. Sama ada Allah berikan sesuatu yang lebih baik, atau Allah berikan ganjaran sewajarnya pada hari akhirat kelak dalam bentuk pahala yang banyak.

Antara sebab-sebab nyata Allah tidak makbulkan doa, seperti yang difirmankan Allah dalam ayat 186, Surah al-Baqarah tadi, iaitu orang-orang yang keimanannya kepada Allah itu, masih berada pada tahap yang boleh dipersoalkan dan kemaksiatan yang dilakukan.

Ada hadis Nabi s.a.w. yang menyebut tentang doa yang tidak dimakbulkan, antaranya (mafhum): "Makan minumlah kamu dengan yang halal, nescaya doamu akan dimakbulkan."

Pada suatu ketika ada seorang yang keadaannya begitu terdesak, mengangkat tangan setinggi-tinggi yang boleh, dan berdoa ke hadrat Allah SWT, memohon kepada Allah, tatkala Nabi s.a.w. melihatnya, lalu baginda bermadah kepada para sahabat, mafhumnya: "Lihat orang itu, makan minumnya haram, pakai memakainya haram, bagaimana mungkin Allah menerima doanya."

Sememangnya semakin hampir seseorang hamba kepada Allah, semakin suci bersih jiwa dan amalannya, maka semakin mudah Allah memakbulkan doanya.

Seperti yang disebut dalam sebuah hadis qudsi, mafhumnya: "Apabila hambu-Ku mendampingi daku, dengan amalan-amalan yang banyak, khususnya amalan-amalan sunat, maka Aku menyukainya, maka apabila Aku menyukainya, akan-Ku tunaikan doanya (hajat)."






Walau hampir dan akrabnya seseorang insan kepada Allah SWT, tidaklah menjadi syarat utama untuk Allah memakbulkan doanya.

Ini kerana, hanya Allah sahaja yang mengetahui kemaslahatan hamba-hamba-Nya. Allah amat mengetahui apa yang hendak diberi dan apa yang tidak perlu diberikan.

Harus kita sedari bahawa dalam kehidupan kita, selain daripada Allah memberi apa yang kita minta, banyak juga kebaikan, rezeki dan sebagainya Allah berikan kepada kita walaupun tidak kita diminta.

Amat sedikit yang tidak diberi, itu pun ada kemaslahatannya.

Mengenai soalan saudara, pernahkah doa Rasulullah sendiri ditolak Allah, jawapannya, ya. Memang doa Nabi s.a.w. pernah ditolak. Kadangkala doa baginda pun ditolak.

Ketika Nabi Muhammad s.a.w., pada zaman awal kebangkitan baginda sebagai Rasul, menghadapi banyak tekanan daripada kaum Quraisy dan anggota keluarganya tidak mahu memeluk Islam.

Malah baginda pernah disakiti sehingga berdoa ke hadrat Allah (mafhumnya): "Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kaumku, mereka ini tidak mengetahui."

Doa Nabi ini tidak ditunaikan sepenuhnya. Bukan orang lain, kalangan anggota keluarga, bapa saudaranya, seperti Abu Lahab meskipun didakwah bertubi-tubi, namun mereka lebih bertegas mempertahankan kekufuran mereka.

Malah sampai kepada peringkat menantu Nabi s.a.w sendiri, ada yang tidak beriman, atau lambat beriman.

Apa yang nyata, kaum kerabat Nabi, yang didoa dan diusahakan untuk mereka beriman, akhirnya mati dalam keadaan kufur.

Dalam Kitab Sahih Muslim, hadis 2889 disebut (mafhumnya): "Suatu hari Rasulullah s.a.w. singgah di masjid Bani Muawiyah, ditunaikan solat sunat dua rakaat bersama sahabat, selepasnya baginda berdoa panjang dengan doa yang panjang. Selepas berdoa baginda berpaling ke arah sahabat dan bersabda, "Saya berdoa kepada Allah, tiga perkara, Allah tunaikan dua sahaja dan menolak yang satu lagi. Saya memohon agar umat Muhammad tidak dibinasakan dengan kelaparan, Allah tunaikan. Saya memohon agar jangan mereka dibinasakan dengan banjir yang menenggelamkan mereka, Allah tunaikan. Namun apabila saya berdoa agar jangan mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri, Allah tidak tunaikan."

Bagaimanapun kebanyakan doa-doa Nabi s.a.w. dimakbulkan Allah SWT. Doa yang tidak dimakbulkan itu memang ada kemaslahatannya.

Oleh itu berdoalah ke hadrat Allah SWT, kerana ia adalah ibadah. Ibadah dilakukan bukan semata-mata untuk keperluan keduniaan.

Jika kita ikhlas beribadah, insya-Allah Allah akan memberikan ganjaran yang sebaiknya di hari kemudian.

Solat, puasa, zakat, haji, berjihad dan ibadah-ibadah, kita lakukan kerana berhajatkan keredaan Allah atau pahala yang dijanjikan kepada kita pada hari akhirat.

Wallahua'lam.
Read more...

Saturday, July 3, 2010

Menanti Di Raudhah

Angin bukit tinggi membelai lembut pipi Alif. Angin yang berpuput dari puncak bukit tinggi di sedut dalam-dalam hingga masuk penuh ke pangkal jantung. Dia bagaikan menahan angin itu dan merasa nikmatnya dan kemudian dia melepaskan kembali perlahan-lahan angin itu dengan nafasnya. Raudhah memejamkan matanya. “Dari Dia semua datang, dan kepadanya semua dikembalikan.”

“Ukhti, sudikah ukhti saya lamar menjadi pedamping hidup saya, menyempurnakan kekurangan saya, menjadi makmum untuk bakal jemaah saya?” Terngiang-ngiang soalan itu di benak kepalanya.

“Asif akhi, saya tidak dapat menerima lamaran akhi.”

“Kenapa?”

“Sudah ada yang datang melamar saya sebelum akhi datang melamar saya.”

“Dan ukhti menerimanya?"

Raudhah tersenyum namun lekas-lekas dia sembunyikan senyumnya.

“Itu satu lamaran yang tidak mungkin saya tolak akhi. Lamaran yang sudah lama saya menantikannya.”

“Siapa ukhti, siapa lelaki bertuah itu, kalau boleh saya tahu.”

“Untuk apa?”

“Untuk saya tahu, bagaimana dia bisa membuka pintu hati ukhti.”

“Dia tidak membuka pintu hati saya, akhi. Malah saya yang membuka hati saya menanti dan menerima lamaran itu.”

Terngiang-ngiang di benak Alif perbualannya dengan Raudhah semasa dia ingin melamarnya tiga bulan lepas. Tiap-tiap bait kata yang keluar daripada mulut Raudhah bermain di benaknya, tidak pernah gagal meleraikan butir-butir air mata Alif.

“Beruntung engkau ukhti kerana menerima lamarannya.”

Alif menangis semakin hebat. Dia malu kerana kebodohannya sendiri. Selendang ungu yang berbalut dilehernya tiba-tiba menutup separuh wajahnya. Alif menarik selendang itu dan dilepaskan daripada membalut batang lehernya. Dia teringat bagaimana dia mendapat selendang itu daripada Raudhah. Bukan dengan cara yang membanggakan atau seronok untuk dikenang.



Malam itu, selepas dua bulan dari tempoh dia melamar Raudhah, Alif hilang separuh kesabaran dan kewarasan berfikir. Dia menunggu Raudhah di luar kawasan kediaman Puteri. Dirinya dikuasai amarah kerana tidak dapat menerima penolakan Raudhah dan Raudhah tidak pula memberitahu kepadanya siapa lelaki yang melamarnya terlebih dahulu.

“Raudhah, tunggu sebentar!”

Raudhah terkejut mendengar suara Alif di dalam kawasan kediaman Puteri. Dia menjadi bertambah malu bila kelakuan Alif memanggil dan menunggunya di kawasan itu dilihat oleh pelajar-pelajar lain. Raudhah cuba untuk mengelak daripada Alif.

“Raudhah, tunggu sebentar!!!”. Sekali lagi Alif memanggilnya. Lebih keras suaranya.

“Ada apa akhi?”

“Jelaskan pada saya, siapa lelaki yang melamar awak sebelum saya dan kenapa lamaran saya di tolak?”

“Asif akhi, saya tak dapat jelaskan pada akhi siapa yang melamar saya dan kenapa saya tidak dapat menerima lamaran akhi. Dengan cara akhi sebegini, lagi membuatkan saya yakin, akhi tidak akan dapat menerima jawapan saya. Asif akhi, saya tak boleh berlama-lama di sini. Begitu juga akhi, sini kediaman Puteri. Akhi sepatutnya jelas tentang itu. Assalamu'alaikum akhi.”

“Raudhah, tunggu!”

Raudhah berjalan meninggalkan Alif. Dia ingin lekas segera beredar dari situ. Akan tetapi Alif masih berdegil dan tidak berpuas hati dengan jawapan Raudhah. Alif cuba melarang Raudhah beredar sebelum dia mendapat jawapannya. Alif secara tidak sengaja menarik bahu Raudhah dan selendang yang dipakai Raudhah tercabut dan berada di dalam genggaman Alif.

Raudhah jadi bertambah malu kerana kelakuan Alif. Secara tidak sengaja dia menampar pipi Alif.

“Asif akhi, saya tidak sengaja…"

“Tak…tak mengapa Raudhah, saya yang bersalah.”

“Akhi, saya lebih tenang mendengar akhi memanggil saya ‘ukhti’ daripada memanggil nama saya.”

Akid terdiam. Selendang Raudhah masih di tangannya.

“Akhi, baiklah. Jika akhi mahu tahu siapa yang melamar saya. Jika itu jawapan yang akan membuatkan akhi beransur dari sini. Saya akan beritahu akhi. Datanglah ke kawasan kediaman Puteri ini tepat malam sabtu selepas azan pertama solat Isya’ tiga hari dari sekarang. Nanti akhi akan tahu siapa yang melamar saya dan kenapa saya menerima dan tidak dapat menolak lamarannya. Sebelum hari itu, akhi janganlah datang ke sini atau bertanya apatah lagi berfikir tentang saya. Selendang itu, akhi simpanlah sebagai hadiah daripada saya, Assalamua'laikum, jaga diri jaga iman ya akhi…”. Raudhah beredar dari situ.

Alif masih terpana di kawasan kediaman Puteri dengan selendang Raudhah di tangannya dan bekas tamparan Raudhah di pipinya.

Tepat tiga hari selepas masa yang diberitahu Raudhah kepadanya, dia datang ke kawasan kediaman Puteri. Namun Alif datang sebelum Isya kerana dia begitu penasaran untuk melihat siapa yang telah berjaya membuka pintu hati Raudhah.



“Assalamualaikum.”

Alif tersedar dari lamunannya selepas mendengar orang memberi salam. Dia lekas menjawab dan melihat seorang lelaki sebayanya berdiri tidak jauh darinya.

“Tunggu apa akhi di sini, bukankah sini kawasan kediaman Puteri?”. Lelaki itu bertanya kepadanya.

“Akhi tanyakan saya, tapi akhi sendiri buat apa di sini?”

“Saya ada sedikit urusan di sini selepas isya' nanti, jadi sebab itu saya ke sini.”

“Oh? Urusan dengan penghuni asrama ini ke?”

“Lebih kurang, begitulah. Akhi masih belum menjawab pertanyaan saya, apa yang akhi buat di sini?”

“Saya menunggu seorang penghuni asrama ini. Saya datang kerana hendak tahu siapa yang melamarnya sebelum saya dan kenapa dia menerima lamaran itu.”

“Oh, begitu ya. Mungkin akhi ini orang yang dimaksudkan seorang penghuni di sini kepada saya.”

“Maksud akhi?”

“Tadi semasa saya baru tiba di sini, ada seorang penghuni asrama ini mengirimkan sesuatu kepada saya. Katanya akan ada seorang lelaki menunggunya di sini dan dia meminta saya menyerahkan ini kepada lelaki itu.” Lelaki itu menghulurkan sepucuk surat kepada Alif.

“Asif akhi, saya perlu beredar kerana urusan saya hampir tiba masanya, InsyaAllah nanti pasti kita akan berjumpa lagi. Assalamu'alaikum akhi, jaga diri jaga iman." Lelaki itu beredar sebelum sempat Akid menjawab salamnya.

Alif membuka surat itu dan membacanya perlahan-lahan.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyanyang,

Assalamu'alaikum akhi Alif, apa khabar akhi? Moga terpelihara kesihatan dan iman hendaknya. Saat akhi membaca surat ini, saya berkemungkinan sedang mempersiapkan diri saya untuk persiapan terakhir sebelum datang menerima lamaran yang saya nantikan. Akhi tak perlu risau kerana tak lama daripada akhi membaca surat ini, akhi akan tahu siapa yang melamar saya dan kenapa saya tak menolak lamarannya.

Akhi, saya ingin sampaikan beberapa pesanan kepada akhi sebelum saya tidak lagi boleh berpesan kepada akhi kerana terikat dengan lamaran saya kerana setelah saya menerima lamaran itu, tak mungkin saya akan dapat berhubung dengan akhi.

Pertama-tamanya, saya ingin berpesan kepada akhi, satu rahsia mengenai kebahagiaan. Saya faham mungkin tindakan akhi kepada saya beberapa malam sebelum ini kerana akhi tidak dapat menerima penolakan saya dan hati akhi tidak tenteram dan bahagia. Jadi saya ingin kongsikan kepada akhi apa itu kunci kebahagiaan. Kunci yang akan dapat membuatkan akhi mendapat kebahagian ialah tidak lain dan tidak bukan dengan menerima dengan percaya dengan sepenuh kepercayaan akan Qada Qadar. Tak boleh tak. Jika akhi menolaknya, maka akhi menolak satu daripada rukun keimanan dan rukun iman memang kita mesti menerima kesemuanya bukan sebahagian sahaja daripadanya.

Kedua, jika akhi kasihkan kepada seseorang, kasihkanlah dia kerana Allah, kerana dengan mengasihi seseorang kerana Allah akan dapat membuatkan akhi selesa di sana dan berkumpul dengan orang-orang yang berkasih kerana-Nya dan mendapat terus Rahmat secara langsung dari-Nya di sana kelak.

Ketiga, apa–apa pun yang akhi cakap, fikir, rasa, dan lakukan, ingatlah supaya semuanya berasas kerana dan untuk-Nya semata-mata tidak boleh kerana selain-Nya, kerana perbuatan seperti itu akan mengelakkan akhi daripada menyekutukan-Nya. Apa akhi mahu menyekutukan-Nya? Tentulah tidak bukan.

Dan terakhir, saya ingin akhi tahu, sejujurya saya amat senang dan berbahagia kerana akhi melamar saya dan akhi tidak terlewat melamar saya, malah, akhi lah orang yang pertama melamar saya dan saya sangat senang untuk menerimanya. Cuma lamaran yang saya terima ini, tidak memungkinkan saya untuk menerima lamaran akhi.

Asif akhi, saya tak punya banyak masa lagi untuk menulis. Saya teramat perlu untuk mempersiapkan diri saya. Akhi, jika kasihkan saya, kasihkanlah saya kerana Allah. Maka insyaAllah dengan rahmat-Nya kita akan berjumpa semula di sana akhi.

Assalamu'alaikum dan terima kasih kerana lamaran akhi, jika tidak kerana lamaran yang saya tunggu ini, tentu sekali saya akan menjawab ‘ya’ pada lamaran akhi.

Alif tersedar dari membaca surat bila azan isya' berkumandang. Dia cepat-cepat melipatkan surat itu dan menyimpankannya di dalam poket bajunya dan berlekas-lekas untuk bersolat. Seusai azan siap berkumandang, terdengar jeritan dari kediaman Puteri. Alif tiba-tiba berasa tidak enak. Dia hendak ke sana, tetapi kerana itu adalah kawasan larangan untuk lelaki, Alif membatalkan hasratnya. Dia menanti sahaja di luar dengan hati yang berdebar-debar. Tidak lama selepas itu, Alif melihat beberapa orang ustaz dan ustazah bergesa-gesa ke kediaman Puteri. Alif sempat menahan seorang ustaz yang seusia dengannya.

“Asif akhi, kenapa akhi dan semua orang bergegas ke kediaman Puteri?”

“Ada seorang penghuni jatuh rebah selepas usai mengangkat wuduk.”

“Jatuh rebah?”

“Meninggal dunia akhi, ada seorang pelajar meninggal dunia selepas mengangkat wuduk, Raudhah namanya. Asif, saya perlu segera ke sana, Assalamu'alaikum akhi.”

Jantung Alif tiba-tiba bagai terputus dari tangkainya. Kakinya lemah. Dia terduduk.

“Satu dari kunci kebahagiaan ialah menerima Qada Qadar…”.

Alif memegang dadanya.

“Jika kasihkan seseorang, kasihkannya kerana Allah…”

Alif merasakan dadanya bagai dihiris-hiris mata pisau.

“Sejujurnya saya amat senang dan berbahagia kerana akhi melamar saya…"

Alif merasakan matanya bergenang.

“Akhi, jika kasihkan saya, kasihkanlah saya kerana Allah. Maka insyaAllah dengan rahmat-Nya kita akan berjumpa semula di sana akhi…”

Alif meraup wajahnya. Matanya bergenang hebat. Dadanya lumat dihiris-hiris.

“Raudhah. Namanya Raudhah. Dia meninggal dunia selepas mengangkat wuduk.”

Alif menangis semahu-mahunya. Surat di dalam poketnya dikeluarkan dan digenggam erat-erat. Selendang ungu yang dibawa dengan hasrat untuk dipulangkan ditekup di wajahnya. Alif menangis semahu-mahunya….

Alif tersedar daripada lamunannya. Dia melihat selendang ungu di tangannya. Dia menghirup angin bukit tinggi dalam-dalam dan dilepaskannya kembali.

“Daripada Dia kita datang, kepada Dia kita kembali. Raudhah, terima kasih kerana mengajarku erti cinta sebenar-benarnya…"

Terima kasih untuk semuanya Raudhah. Terima kasih atas segalanya Allah.


"Lelaki acuan Al-Quran,
Basahnya lidah mengingati Tuhan,
Tunduk pandangannya penuh
Kesederhanaan.......

Lelaki acuan Al-Quran,
Lembut tuturnya dalam ketaqwaan,
Quran dan Sunnah jadi panduan,
Akhlak Nabi jadi ikutan,

Lelaki acuan Al-Quran,
Hidup matinya kerana tuhan

Lelaki acuan Al-Quran,
Jadi teladan sepanjang zaman,
Jadi teman di perjalanan.


Read more...